Saturday 19 July 2014

Kau Aku Punya (bab 10)


BAB 10



“HOI!”
Tersentak Medina. Gulp, gulp. Dia sendiri boleh dengar bunyi dia telan air liur.

“Aku tak buat salah okey.”

“Aku rasa kau ni patut daftar masuk WWE.”

Medina kerut kening.

“Tak fahamlah tu. Dah cepat keluar.”

“Nak keluarlah ni. Kau tu yang sibuk halang laluan keluar aku.” Terkial-kial Medina cuba untuk duduk semula di atas kerusi. Sempit pulak bila nak keluar. Tadi masa nak masuk kemain meluncur aje ke bawah.

“Heh, tadi kata perut masuk angin! Ni elok je makan.” Nada perli.

“Perut aku. Mulut aku. Suka hati akulah.”

Suapannya tetap diteruskan. “Kau kalau tak nak makan, bak sini biar aku yang makankan.” Sambungnya lagi dengan mulut penuh dengan makanan.
“Hesy, tak ada manners betullah kau ni.”

“Dengan kau je.” Ameer smirk.

Panas berapi telinga Medina mendengar setiap butir patah-perkataan yang Ameer keluarkan. Air Mineral disisi kanannya ditarik kasar dan dibawa ke mulut. Air tersebut diteguk agak rakus dengan harapan rasa panas dihatinya akan kian berkurang walaupun sebenarnya tak pun.

“Nak makan ke tak tu?” Sekali lagi Ameer bertanya.

“Tak naklah. Tak ada selera.”

“Laaa… Ni yang aku tak suka ni. Membazir aje.”

Medina menjuih bibir. “Tadi kau kata nak. Nahlah makan.” Pinggan berisi kek itu ditolak ke depan Ameer.

“Benda-benda manis ni mana aku suka. Kita tapau ajelah. Esok lusa kalau kau teringin makan kek tak payah dah susah-susah nak kena beli.”

Medina mengangguk mengiyakan kata-kata Ameer itu. Malas dah mahu melayan. Ameer mengangkat tangan kanannya ke atas memanggil pelayan. Bergegas salah seorang pelayan wanita datang ke arah mereka berdua. “Ya, ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong Encik?”

“Dua kek ni awak tolong tapaukan.”

“Baik Encik.” Pelayan wanita itu menganggukkan kepalanya. Buku nota dan pen yang dipegangnya diselit ke dalam kocek apron. Kedua-dua piring berisi kek itu diangkat dan kemudian dia bawa menuju ke dapur restoran.

“Lain kali kalau dah tahu tak ada selera jangan menyusahkan orang lain suruh belanja kau bagai. Membazir tahu tak? Membazir masa, membazir duit, membazir tenaga. Aku tahulah kau tu lahir dalam keluarga senang tapi benda-benda membazir ni tak elok. Cuba kau…”

“Ishh dahlah tu. Kau ni sejak bila suka membebel?” Masam mencuka mukanya. Benci betul mendengar bebelan si mata kail ini. Yang dia tahu hanya dia seorang sahaja yang dibenarkan membebel. Orang lain tak boleh! Hatinya masih geram dengan seorang Ameer Mikail. Bukan geram sebenarnya, tapi lebih kepada terasa hati dengan layanan yang dipersembahkannya tadi. Hai, isteri manalah yang tak sakit hati kalau suaminya curang depan-depan.

Ameer tersentak. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Macam mana dia boleh lupa nak control dirinya tadi? Sepatutnya dia tak boleh rasa sebegini selesa dengan Medina. Sepatutnya dia tahu batas-batasnya. Hatinya mengeluh kesal.

Nafas ditarik dalam.“Dah jom balik.” Dia berdiri seraya mengajak Medina balik. Nadanya kembali seperti selalu, sedingin ais kutub utara.

Tanpa berlengah Medina mengikut belakang Ameer yang  sedang sibuk menggodek wallet sebelum berhenti di hadapan kaunter bayaran. Beberapa helai not lima puluh ringgit ditarik keluar dan kemudian dihulur kepada cashier restoran. Selesai resit dan baki dikembalikan oleh cashier yang bertugas, tanpa berlengah kedua-dua mereka beredar keluar dari restoran.

Situasi yang kekok itu bertambah kekok apabila Medina berjalan perlahan di belakang Ameer. Mengikut sahaja langkah Ameer seperti lembu dicucuk hidungnya.

Tiba-tiba kakinya yang sedang melangkah terhenti.

“Aku nak singgah bookstore sekejaplah. Ada nak beli buku.” Cepat-cepat Medina bersuara. Baru teringat ada buku yang ingin dia beli apabila ternampak seorang kanak-kanak perempuan sedang membaca komik.

Ameer memalingkan wajahnya ke belakang. Tanpa riak dia mengangguk. Tapak tangan kiri dan dan kanan diseluk ke dalam kocek seluar.




KERUTAN pada dahi semakin jelas kelihatan. Sudah lebih sepuluh minit dia cuba mencari buku yang ingin dibelinya tetapi tetap juga belum dijumpai.

“Dah sepuluh minit ni. Takkan tak jumpa lagi? Kalau tak ada nanti lain kali cari dekat tempat lain.”

“Sekejaplah. Hisyy… mana ni?” Daripada posisi membongkok terus dia ubah ke posisi duduk mencangkung pula. Sakit pinggang dibuatnya. Mata masih lagi menyorot setiap buku yang berada di rak di hadapannya itu. Selagi tak jumpa selagi itulah jangan harap aku nak balik! Tekad Medina di dalam hati.

“Kedai pun dah nak tutup ni. Apa tajuk bukunya meh sini aku tolong cari sekali.” Tawarnya selepas melihat jam di tangan.

“Lafazkan Kalimah Cintamu. Front cover dia warna merah-merah pic. Lepas tu ada bentuk love dekat tengah-tengah.” Punggung dijatuhkan ke lantai dan kemudian kedua-dua kakinya disila.

Medina mengeluh perlahan. Kenapa tak jumpa ni? Takkan dah habis stok pulak. Kata-kata itu hanya berjaya diluahkan di dalam hatinya sahaja.

“Yang ni ke?” Senada Ameer bertanya dengan kening yang terangkat. Sekali pandang dia dapat mengecam keberadaan buku itu.

“Mana? Hah, betullah yang ni!” Matanya tercari-cari buku yang berada di genggaman tangan Ameer. Kepalanya sudah pening melihat begitu banyak buku dari tadi sampaikan buku di depan mata pun dah tak nampak. Sengihnya melebar sebaik sahaja dia merampas buku tersebut daripada tangan Ameer. Terus dia berdiri dengan sebelah tangan menepuk-nepuk sekali dua punggung untuk membersihkan kotoran pada belakang seluar. Tanpa berlengah kaki diatur ke kaunter bayaran.


“Macam budak-budak.” Omel Ameer sendirian mengikut Medina dari belakang.



No comments:

Post a Comment