Thursday 1 August 2013

MENANTU REBUTAN (BAB 3)




BAB 3


              BUAT kali ke berapa entah dia mengeluh. Penat berdiri, dia bercangkung. Penat bercangkung, dia tukar posisi ke berdiri pula. Beg-beg plastik yang berat berisi segala macam jenis barang dapur dah diletak di atas tanah. Dah sepuluh minit menunggu, tapi orang yang ditunggu masih belum menampakkan batang hidung.

Dahlia memang perasan sejak dari tadi lagi, ada seorang wanita yang lebih kurang sebaya mamanya tercongok seorang diri di pintu masuk pasar seperti menunggu seseorang untuk menjemputnya. Nak bertanya tapi macam segan. Tapi kalau tak tegur rasa bersalah.

Mama dah menghilang entah ke mana. Muhammad pun dah jumpa ibu dia. Sekarang ni dia ajelah yang tak tahu nak buat apa melainkan melihat gelagat wanita yang kelihatan cukup anggun berbaju kurung itu. Gaya ada macam mak datin tapi, tak tahulah betul mak datin atau memang gaya je serupa mak datin. Tu yang jadi makin seram nak tegur.

Dalam pada otak fikir nak tegur ke tidak, kaki dah pun mendahului. Tanpa dia sedar, rupa-rupanya jasadnya dah ada di belakang ‘mak datin’ itu. Homai….!!!

“Assalamualaikum.” Dahlia memberi salam. Sesuatu yang sangat luar biasa bagi dirinya. Macam mana boleh jadi sopan sangat ni?

Kepalanya dipusing seratus lapan puluh darjah ke belakang seraya menjawab salam yang keluar dari mulut Dahlia. “Waalaikumsalam.”

“Saya nampak aunty berdiri lama sangat dekat sini, tu yang saya datang tegur ni.” Dahlia senyum. Wahh, kalau betul mak datin ni bolehlah buat bakal mak mertua. Kekeke…

“Aunty tunggu anak teruna aunty. Dah dekat sepuluh minit aunty tunggu sini, tak jugak nampak bayang dia.”

“Itulah dari tadi saya tengok aunty macam tunggu orang je. Kebetulan saya pun tunggu ibu saya. Kira kita sekapallah.”

Dia hanya mengangguk mendengarkan butir-butir kata dari Dahlia.

“Eh, anak ni yang tolong budak lelaki yang jatuh tersembam tadi kan?” Baru dia teringat tentang kejadian yang berlaku tadi. Kecoh betul. Dia nak menolong tapi tak mampu. Diri sendiri pun jenuh memegang berbeg-beg plastik, nanti kalau datang menghulur tangan lain pula yang jadi. Mujur ada seorang gadis bersama dengan ibunya yang terlebih dahulu datang menolong. Tersentuh hatinya melihat mereka yang baik hati tu. Andai kata gadis itu belum berpunya, akan dia jodohkan dengan anak terunanya yang seorang itu. Itu yang terdetik di hati kecilnya tadi. Tak sangka gadis itu adalah gadis yang sama di depannya ini. Mungkin memang benar inilah jodoh buat anaknya, Amirul Mukminin.

“Err… aunty ada jugak ke tadi? Aduhai, segan saya jadinya.” Tiba-tiba dia rasakan jalan tar di kakinya lebih menarik dari muka wanita yang dia gelarkan ‘mak datin’ itu.

“Haisyy, tak payah segan-seganlah. Perasan tak, kita ni berborak dari tadi tapi tak tahu pun nama masing-masing. Macam aunty ni senanglah dipanggil aunty tapi aunty yang tak tahu nak panggil anak ni apa. Duk dari tadi beranak-anak je. Tak sedap lidah nak menyebutnya.”

“Haha… Betul jugak tu. Saya pun tak perasan, seronok sangat berbual dengan aunty ni.”

Beg plastik dah pun selamat diletak di atas tanah. Lenguh tangan dari tadi asyik mengusung ke sana ke sini. Kalau ringan tak apalah juga.

“Jadi,apa namanya ni?” Ibu jari ‘mak datin’ itu menunjuk ke arah dirinya. Amboi, tak sabar betul ‘mak datin’ ni. Dah cop aku buat calon menantu ke apa ni?

“Hana Dahlia. Aunty boleh panggil Aya je.” Dengan cara yang paling lemah-lembut dia jawab. Sopan giler! Kompem dapat A+ punya. HAHAHA…

“Aya.” Serentak suara dua orang yang berbeza bergabung memanggil nama glamournya. Satu dengan nada lemah-gemalai tanpa tanda seruan manakala satu lagi dengan nada yang agak kasar berserta tanda seruan. Satu dari arah depan satu lagi dari arah belakang. Dua-dua pemilik suara itu dia kenal. Tambah-tambah lagi yang dari arah belakang.

“Puas mama pusing cari dia, kat sini rupanya. Dahlah handphone tak bawak. Tadi duk sibuk tolong orang, ni dah terbalik pulak.” Puan Ros membebel pada Dahlia bukan main lantang lagi. Itu sebab dia tak perasan ada orang lain selain anak bongsunya di situ. Kalau tak mesti dia cover cun!

“Mama ni… kuat betul kalau membebel. Err, aunty kenalkan ni mama Aya.”

“Eh, ada orang lain ke? Kenapa tak cakap awal-awal?” Puan Ros berbisik pada Dahlia sebelum mendekati wanita yang hampir sebaya dengannya tu. Tangan kanan dihulur untuk bersalam. Bibir dimaniskan degan senyuman. Salah satu sunah Rasulullah. Dah dapat pahala. Mudahkan Islam ni?

“Rosnani.”

“Zaiton.”

Ouh, nama ‘mak datin’ ni Zaiton rupanya. Mujur tak mengaku Olive. Kalau tak kompem memang mak datin! Ouh otak jahat sungguh kau ni Aya!

“Anak saya ni.” Jarinya menunjuk pada Dahlia.

“Baik budaknya.” Puji pula ‘mak datin’ yang bernama Zaiton itu.

“Degil ni. Lama kenal ke dengan anak saya ni?”

“Eh, taklah. Baru kenallah ni. Dia datang tegur saya yang tercongok macam tiang bendera menunggu anak teruna yang sorang tu. Entah mana dia melencong.”

Dahlia mula memainkan peranan sebagai pemerhati. Nak menyampuk macam tak kena pula. Al-maklumlah, yang bersembangnya sama baya, tu cepat aje ngam.

“Jalan sesak kut. Takpelah kita tunggu sini sampai dia datang.” Puan Ros memberi cadangan pada kawan barunya itu seraya memngeluarkan arahan pada anaknya supaya tunggu sehingga anak teruna si kawan muncul. Dahlia yang sejak tadi jadi penonton mengangguk sebagai tanda bersetuju dengan mamanya.

“Eh, tak payahlah. Kejap lagi anak saya tu mesti terpacak. Menyusahkan awak pula nak teman-teman saya bagai. Tak apa saya boleh sorang sini. Sekejap je.”

“Tak eloklah macam tu.” Puan Ros masih mendesak.

“Aya pergi hantar ni dekat kereta sementara mama temankan aunty Zaiton.” Cepat-cepat dia bersuara supaya tidak ada yang membantah.

“Okey!”

“Hah, tu pun anak saya dah sampai.” Mereka semua menoleh ke arah pandangan matanya. Tak jadi kaki Dahlia ingin menapak ke tempat parkir yang lebih kurang lima puluh meter jauhnya. Kelihatan sebuah kereta import mewah berwarna putih metalik entah buatan negara mana tak berapa nak pasti, sedang menuju ke arah tempat mereka sedang berdiri.

“Itu ke anak aunty?” Soal Dahlia.

“A’ah. Bolehlah Aya kenal-kenal dengan dia, dah jumpa pun ni.”
Wahh… ini sangat kaya. Kalau aunty Zaiton yang nampak muda ni betul lebih kurang baya mama, mesti anak dia lebih kurang baya-baya kak Orked paling tua pun. Entah-entah betul mak datin ni! Eh, tapi bukan selalu mak datin tak jejak pasar ke?

Kereta itu betul-betul berhenti di depan mereka. Masing-masing menantikan lelaki yang keluar dari tempat duduk pemandu.

Mata Dahlia terbuntang. Begitu juga Puan Ros. Tak berkelip mata melihat. Terperanjat yang amat! Mereka tenung dari atas ke bawah, bawah ke atas lelaki yang bermisai tebal dan berkepala botak itu. Baju yang dia pakai adalah kemeja lengan pendek berwarna putih bersih dan berseluar slack hitam. Betul ini anak dia? Takkanlah anak lagi tua dari mak? Pulak tu rupa dah ada iras-iras Zaibo. Ouh, Zaibo maafkan daku.

 “Eh, Amirul mana?” Aunty Zaiton bertanya kepada lelaki berkepala botak itu. Nadanya juga nada orang terkejut.

“Dia ada hal kecemasan dekat hospital, Puan Seri. Maaf saya lambat.” Lelaki itu tunduk sedikit sebaik sahaja dia meminta maaf. Sesudah itu, langkah kaki terus sahaja dilanjutkan ke depan mengangkat beberapa beg plastik yang ada di sekeliling wanita yang dia panggil Puan Seri a.k.a. aunty Zaiton.
Manusia dua-beranak itu dah terdiam seribu bahasa. Betul ke apa yang baru mereka dengar ni? Ke otak salah interpret?

“Takpe, takpe. Nampaknya tak ada rezeki aunty nak jumpakan Aya dengan Mirul.”

Dahlia dan Puan Ros masih terkedu. Riak muka masih lagi riak terkejut. Ngaa, kalau tahu wanita ini adalah Puan Seri, memang tak akan dia tegur. Dahlah selamba badak panggil aunty!




“KENAPALAH boleh Aya tertegur aunty Ton tu?”

“Jodoh nak sampai dah kut.” Puan Ros berseloroh.

Pintu kereta bahagian tempat duduk belakang ditutup. Pintu depan bahagian penumpang pula dibuka lalu masuk ke dalam perut kereta. Dahlia yang sudah pun ada di dalam kereta start enjin. Segala jenis button yang ada yang boleh menurunkan suhu dalam kereta itu ditekannya.

“Huh, panas!” Mamanya kipas-kipas muka guna tangan. Cara paling klasik!

Dahlia perlahan-lahan menekan pedal minyak setelah break tangan diturunkan. Toyota Camry itu semakin laju meluncur di atas jalan raya.

“Hesy, tak mahulah.”

“Apa pasal pulak tak mahu? Puan Seri tu…” Panjang nada ‘tu’ dia.

Dia biarkan soalan mamanya tidak berjawab. Nanti kalau dilayan makin kelaut pula sekaligus mesti semua jenis benda yang tak patut mamanya tahu akan tahu. Jadinya, berdiam diri adalah yang terbaik!

“Muhammad tu tadi apa cerita?”

“Okey je. Terjumpa dengan ibu dia lepas beli apam balik.”

Puan Ros mengannguk.

“Tapikan, Aya ingat dia baya Jauzan. Rupanya tak.”

“Eh! Habis tu berapa pulak umur dia?” Kepala dah dipusing memandang Dahlia.

“Sembilan tahun.”

“Biar betul Aya ni? Mama ingat dia sebaya Jauzan.”

“Kan? Aya pun macam pelik je. Tapi dah itu dia cakap. Atau pun si Jauzan tu genetik pendek kut. Tu yang nampak diorang sebaya. Hahaha…”

Puan Ros ikut sama gelak.

“Apa Aya ni. Tak baiklah.” Tegurnya dengan sisa tawa yang masih ada.

“Mama pun ikut gelak.” Pecah lagi ketawa mereka. Bahu kiri Dahlia ditepuk perlahan.

“Mama gelak sebab Aya gelak.”

“Dan-dan!”



“YEAY, dah sampai!”

“Alhamdulillah.” Dahlia sengih. Salah ayatlah pulak. Enjin kereta dimatikan sambil mata memerhati pintu pagar automatik yang baru ingin tertutup itu. Tangan dipanjangkan ke tempat duduk belakang untuk mengambil barang-barang yang baru dibeli tadi.

Masing-masing keluar dari kereta dengan menjinjit beg-beg plastik yang berisi segala macam barang dapur. Konon aje nak beli sikit, tapi bila dah beli sikit pun dah jadi sakit! Padahal dalam rumah ada tiga orang je pun. Tapi tiap kali keluar shopping barang dapur macam ada lapan ratus lapan puluh lapan orang aje dalam rumah ni! Walhal kat laman belakang tu belambak segala jenis sayur. Cakap aje nak apa? Semua ada! Nak sawi? Ada. Nak tomato? Pun ada. Nak apa lagi? Kangkung? Perghh, sangatlah banyak! Tinggal nak petik aje. Sampaikan kadang-kadang tu sayurnya terbiar busuk aje. Sebab dah banyak sangat! Sekali nak kena harvest dah boleh buka satu gerai dekat tapak pasar sana.

“Hei, berangan apa tu? Cepat sini tolong mama masak.” Tersentak dia. Baru cadang nak main tenung-tenung mata dengan ikan kaloi dalam kolam kecil luar rumah sana, dah kena panggil buat kerja. Rajinnyaaaaa!

“Sini, sini, kupas bawang ni semua.” Langkah kaki terus sahaja melulu ke meja yang terletak ditengah-tengah laluan dapur itu, atau dalam bahasa modennya, kitchen table island. Sinki pun siap dipasang di bahagian meja ini. Disebabkan semua yang berperang di dapur tak berapa nak gemar buat kerja sambil duduk maka segala jenis kerusi memang tak ada di dapur ini. Baik Puan Ros, Orked mahupun Dahlia masing-masing suka berdiri semasa membuat kerja di dapur. Kalau berdiri pergerakan kurang terbatas. Tapi kalau dah duduk walaupun memang tak terbatas langsung-langsung pergerakan badan tapi, kemalasan pula yang akan jadi musuh utama! Kan? Siapa yang selalu masuk dapur tu mesti faham punya. Hahaha…

“Nak dilicih sekali ke ni?” Soalnya naif.

“Mestilah. Halus-halus tau. Nak buat jadi bawang goreng tu.” Puan Ros senyum dengan makna. Dahlia dah ternganga.

Patutlah banyak bukan main bawang merahnya. Rupa-rupanya nak buat bawang goreng. Uwarghhhhh, kenapa mama selalu nak suruh aku buat benda yang leceh?!! Sob sob betullah.

“Eh, lalat nak masuk tu. Tutup cepat!” Gelak besar Puan Ros. Dapur itu riuh dengan suara dia ajelah.

“Sob soblah mama ni. Banyak kut, mama nak buat satu balang besar ke?” Dahinya berkerut bertanyakan soalan itu.

“Tuuu.” Jari telunjuk memanah ke kabinet di sebelah kanannya. Ada satu satu balang kaca yang kosong sebesar balang nestum. Agak banyak jugalah nak kena licih untuk penuhkan satu balang kaca itu.

“Ngaaaa! Mama nak penuhkan satu balang ke? Biar benar ni ma?”

Mamanya mengangkat bahu sekali. Senyum mengusik masih melekat dibibir.

“Tak apalah. Demi mama terchenta sanggup daku lakukan.”

Mereka sama-sama ketawa mendengarkan ayat yang keluar dari mulut Dahlia itu. Masing-masing memulakan tugas mereka. Dahlia sibuk dengan bawangnya, manakala Puan Ros sibuk dengan ikan-ikannya. Banyak yang dia kena buat sebab kali ini dia masak untuk ramai orang. Anak menantunya mahu datang selepas zohor nanti. Tapi Orked mungkin lambat sikit. Ada hal katanya.

Suasana di dapur itu hanya bising dengan bunyi air paip yang mencurah ke sinki dan bunyi detakan pisau ke papan landas. Sesekali terdengar bunyi dentingan periuk belanga berlaga.

Tiba-tiba esakan halus muncul memeriahkan lagi suasana di dapur itu.

“Tsk tsk tsk. Sampai hati mama buat Aya macam ni. Apa salah Aya pada mama? Mama tak patut buat Aya macam ni. Aya tahu yang Aya ni cuma…”
“Dah cukup. Bukan main lagi drama dia. Baru hiris dua tiga bijik je tu, tapi gaya dramatik sangat macam dah berpuluh-puluh bijik.”

“Hesyy mama ni, Aya baru nak serlahkan bakat terpendam Aya.” Luahnya dengan esakan halus. Air mata dah mencurah-curah jatuh ke pipi. Hidung pun dah merah macam badut! Tapi tangan tetap menjalankan tugas.

“Maaaa, nak tisu. Leleh banyak ni.” Mintanya dengan mata yang tertutup rapat. Dahi berkerut-kerut menahan pedih di mata. Hidung pula tak sudah-sudah menyedut hingus yang meleleh keluar dari lubang hidungnya. Sot sot bunyinya.

“Sini, sini.”

“Auww, kenapa tisunya kasar ni?”

“Iyelah. Mama guna tisu dapur je ni.” Mamanya masih lagi mengesat hingus di hidung Dahlia tapi mulutnya dah ketawa terbahak-bahak.


“Mamaaaa!”

1 comment:

  1. Assalammualaukum. Salam perkenalan. Harap awak sudi lawati blog saya. http://balqisluv99.blogspot.my/?m=1 . Arigatou. :)

    ReplyDelete